14 December 2008

Perkembangan muzik digital

KETIKA ini tidak ramai lagi yang mahu menghasilkan sebuah album penuh. Alasan yang sering kita dengar adalah kerana pasaran album yang lembab. Banyak sebab mengapa penjualan album semakin lembab hari ke hari. Antaranya yang paling ketara adalah kerana kemuncak teknologi komunikasi masa kini.

Dengan pelbagai stesen radio yang tumbuh bak cendawan, tentu sahaja mereka menyajikan pelbagai jenis lagu yang menjadi pujaan ramai. Terkini dan malar segar.

Selain itu, kata warga industri, antara penyebab penjualan album yang tidak memberansangkan adalah ekoran peningkatan teknologi muzik digital dan Internet.

Pihak syarikat rakaman memberi alasan tidak ramai lagi peminat yang mahu membeli album penuh dengan sebegitu banyak saingan seperti muat turun. Kerana penjualan album yang meleset yang melanda seluruh dunia, banyak syarikat rakaman terpaksa gulung tikar.

Kalau tidak pun ada beberapa syarikat gergasi mengambil peluang bergabung dengan syarikat rakaman lain, seperti yang dilakukan syarikat antarabangsa seperti SonyBmg dan Warner-EMI.

Tapi dalam tak laku, Wanda hairan juga kenapa berlambak pula album kompilasi diterbitkan oleh syarikat rakaman. Tak kiralah kompilasi album Melayu ke Inggeris.

Album-album yang menghimpunkan lagu-lagu hits popular terus menguasai pasaran dan khabarnya edaran bagi album-album begini sentiasa mendapat sambutan memberansangkan.

Mengapa album-album begitu laku? Tidak salah rasanya terus mengeluarkan album begini kerana permintaan menggalakkan daripada peminat dan setidak-tidaknya terus menggerakkan jualan untuk memungkinkan industri kita terus hidup.

Cuma yang menjadi persoalan, mengapa album penuh tidak lagi mampu menguasai pasaran sehebat masa lalu? Ketika album Ramlah Ram boleh dijual ratusan ribu unit. Begitu juga Ella, Search dan Wings, sekadar menyebut beberapa nama, lama sebelum era Raihan mencacat jualan memberansangkan.

Mungkinkah selain muat turun dan segala bagai yang melanda dewasa ini, pemilihan lagu-lagu dalam sesebuah album sudah lagi tidak sehebat masa lalu? Mungkin dalam 10 lagu, hanya ada satu dua yang sedap didengar.

Mungkin juga itu menjadi sebahagian penyebab yang membuatkan para peminat seringkali berfikir dua kali sebelum mendapatkan sesuatu album. Mungkin!

Iyalah, buat apa nak beli kalau satu dua lagu yang sedap itu boleh didengar sahaja melalui stesen radio. Lagipun nak beli cakera padat bukan murah. Sebab dulu harga cakera padat sahaja mencecah RM49. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja harganya turun. Itupun sebagai usaha untuk melariskan kembali penjualan album.

Dan lebih sedekad lalu apabila penjualan album jatuh merudum, satu fenomena melanda. Ramai menyalahkan isu cetak rompak yang dianggap sebagai punca kepada kegawatan jualan album tempatan.

Kononnya album belum dipasarkan, cakeranya sudah berlambak dijual di tepi-tepi jalan. Ini pun rasanya satu kes yang tidak pernah menemui jalan penyelesaian. Dan sehingga hari ini nampaknya isu penjualan album yang tidak memberansangkan ini terus berlarutan dan akan terus berlanjutan bukan sahaja kerana masalah ekonomi yang melanda dunia ketika ini tetapi juga akibat kesan kecanggihan teknologi.

Dan mengambil peluang perkembangan hebat teknologi, maka hari ini ramai pula artis-artis tempatan yang mula beralih angin. Ramai mula mengeluarkan single sahaja.

Tidak sahaja melibatkan kos yang kurang tetapi ia juga membuatkan penyanyi ada produk baru. Penyanyi perlu ada produk untuk dia terus promosikan diri. Walaupun sebuah lagu.

Ziana Zain misalnya, walaupun perancangannya mahu menerbitkan sebuah album penuh namun memasarkan dahulu single, Dingin dan Melara Jiwa. Malah lagu Dingin sempat pula memasuki carta Separuh Akhir Muzik-Muzik kategori Balada minggu lepas.

Erra Fazira juga sudah ada single sendiri yang kini sedang menanti waktu untuk diperkenalkan oleh syarikat rakamannya, SRC.

Dan penyanyi Bumi Kenyalang, Camelia juga sedang berura-ura untuk merakamkan semula lagu M. Nasir, Sentuhan Listrikmu bagi dijadikan single terbarunya.

Cukupkah sekadar single? Mungkin ramai yang tak puas hati. Tapi itulah nikmat teknologi! Lagipun buat apa nak keluarkan duit beribu ringgit kalau album bermutu pun jualannya, alahai...

Apa pun Wanda tabik Anuar Zain kerana berani mengeluarkan belanja beratus ribu ringgit untuk album terbarunya, Anuar Zain yang kini khabarnya sudahpun mencecah 40,000 unit.

**copy utusan online

p/s:- aku pun amalkan konsep amalan sifar.. muaturun je semua tu..

0 comments: