Terapi waktu pagi
SELEPAS diuar-uarkan beberapa minggu di dalam radio, akhirnya tanggal 5 Januari lalu berkumandanglah suara pasangan duo sensasi iaitu Aznil Nawawi dan Din Beramboi menyemarakkan lagi pagi pendengar radio Era.
Biarpun kali pertama digandingkan di konti dan ketika ditemui Hip, mereka baru sehari menggalas tanggungjawab, mereka berdua nampaknya tidak kekok mengendalikan slot popular itu. Selama empat jam bertugas ada saja idea pelik mereka untuk menghangatkan suasana.
“Saya ditawarkan untuk menjadi penyampai slot pagi ketika sedang bersiap sedia untuk mengerjakan haji. Jadi kesempatan berada di Tanah Suci Makkah, saya berdoa kepada Tuhan jika tawaran ini membawakan kebaikan maka lancarkanlah perjalanannya dan alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan Tuhan dan ini membuatkan saya terima tawaran itu dengan hati yang terbuka,” ujar pengacara tersohor ini.
Bagaimana agaknya bergandingan dengan Din Beramboi yang dikenali sebagai seorang yang gila-gila? Apakah Aznil akan terpaksa mengikut rentak dan gaya Din ataupun mereka menampilkan karakter yang berbeza di dalam konti?
Menjawab persoalan itu, bekas penyampai radio THR ini berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang asing buatnya kerana antara dia dan Aznil sudah saling mengenali antara satu sama lain.
“Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa saya dan Aznil sudah lama kenal iaitu sejak 13 tahun lalu. Jadi antara saya dan dia tak ada banyak masalah. Rasa bertuah juga kerana berpeluang untuk bergandingan dengan Aznil kerana selama mengenalinya, dia lebih senang berkerja secara solo.
“Tapi memandangkan kami sudah memahami antara satu sama lain, saya faham cara dia bekerja dan tahu apa yang dia suka atau tidak, jadi ia menambahkan lagi keserasian kami untuk menghangatkan lagi slot pagi yang kami kendalikan ini,” jelas Din Beramboi sambil dipersetujui Aznil di sebelahnya.
Tambahnya mereka juga pernah bekerjasama dalam sebuah album berjudul Sawancara yang diterbitkan sekitar sedekad lalu.
Dan kata-kata Din Beramboi itu bukanlah sekadar omong kosong semata-mata. Sebaliknya, keserasian yang dikatakan itu dikotakan mereka.
“Sepanjang mengendalikan segmen pagi ini, tugas Din Beramboi adalah untuk membuat lawak jenaka manakala saya menyalurkan informasi kepada pendengar. Pendek kata, tugas saya mengimbangi supaya slot pagi itu tidak terlalu merapu dan masih menjalankan tanggungjawabnya menyalurkan maklumat di samping memberi hiburan,” ujar Aznil yang lengkap berpakaian sekolah sempena menyambut hari pertama persekolahan sewaktu pertama kali bersiaran di waktu pagi.
Tugas mereka berdua tidak hanya selesai selepas jam 10 pagi. Sebaik saja menyerahkan konti kepada Adi dan Ray untuk ke udara, mereka akan mengadakan post mortem bersama Pengurus Saluran Era, Nazri Noran untuk menilai kembali persembahan mereka itu.
“Buat masa ini kami akan laksanakan tugas kami seperti yang dirancang awal. Jika ada apa-apa komen atau maklum balas, perubahan akan dibuat dari masa ke semasa sebelum kami menjadikan sesuatu segmen itu secara tetap,” ujar Aznil yang menjalani latihan selama dua minggu bersama pasangannya itu sebelum memulakan tugas mereka secara rasmi.
Tidak abaikan slot lain
APABILA satu demi satu penyampai radio Era dipindahkan ke stesen Sinar FM, ramai yang membuat andaian bahawa itu adalah perkara biasa buat penyampai Era yang semakin meningkat umur mereka. Stigma itu berlanjutan sehingga kini dan terbaru apabila penyampai sensasi Linda Onn menerima nasib yang serupa seperti apa yang pernah berlaku kepada Jamal Jamaluddin, Halim Othman, Subi, Nila Kurnia sebelum ini.
Bagaimanapun, dakwaan nakal ini disangkal Nazri sambil menjadikan pasangan ini sebagai contoh bahawa dakwaan sebegitu tidak benar.
“Usia bukanlah penghalang untuk seseorang itu bergelar penyampai Era. Tetapi seperti apa yang saya pernah tegaskan bahawa yang penting, mereka harus sanggup memberi komitmen kepada kami serta sentiasa memberikan yang terbaik kepada Era, itu saja.
“Macam pasangan ini, saya dapat melihat memang ada keserasian buat diri mereka berdua selepas masing-masing menjalani sesi uji bakat dengan pelbagai pasangan sebelum ini,” ujarnya yang memang bercita-cita untuk mendapatkan khidmat Din Beramboi selepas tertarik dengan corak penyampaian gila-gila lelaki itu dalam album Sawancara.
Melihat kepada kesungguhan Era mempromosikan slot pagi, timbul pertanyaan apakah slot lain tidak penting sehingga Era sanggup mengabaikan mereka.
“Kami tidak pernah mengabaikan program lain. Untuk pengetahuan semua, sebelum saya menumpukan perhatian untuk slot pagi, saya terlebih dulu menyusun atur slot lain supaya semuanya nampak seimbang. Lagipun, bagi saya slot lain tidak mempunyai banyak masalah dan saya sudah meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya.
“Macam Reza dan Nana, saya lihat mereka sesuai untuk bergerak secara solo manakala Burn dan Cham kelihatan serasi untuk slot petang. Apabila semua sudah okey, baru saya tumpukan sepenuhnya untuk slot pagi,” katanya.
Biarpun baru sehari ke udara, Nazri berkata dia berpuas hati dengan usaha dan persembahan mereka sepanjang pagi itu.
“Malah bos besar AMP pun puas hati dengan apa yang mereka lakukan pagi tadi. Sebelum ini dia tidak pernah memuji mana-mana penyampai tetapi kali ini dia puji apa yang Aznil dan Din Beramboi persembahkan pendengar. Saya harap ini satu permulaan yang baik buat mereka,” ujarnya postif.
INFO: Segmen dalam Pagi Era
- Teka Bunyi
- Teledrama Sebabak - Pendengar dan Din Beramboi melakonkan drama satu babak
- Berita Cara Kami - bacaan berita oleh Din Beramboi
- Best Dress di Radio - pendengar menelefon dan menggambarkan pakaian yang mereka pakai ke pejabat dan pemenang akan dipilih berdasarkan huraian itu.
- Surprise Call - pendengar mencadangkan kru Pagi untuk membuat panggilan telefon kepada seorang rakan sepejabat
- Bual Borak Era
- Anugerah Pemanggil Terbaik.
0 comments:
Post a Comment