13 August 2008

5,000 pelajar UiTM berhimpun

**copy dari kosmo online
Oleh MEGAT RAMLI MEGAT
RAOFmegat@kosmo.com.my



SEBAHAGIAN pelajar UiTM mengadakan perarakan secara aman ke bangunan SUK di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Kira-kira 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) membanjiri pekarangan luar bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di sini semalam bagi membantah cadangan kemasukan kuota 10 peratus pelajar bukan bumiputera ke institusi itu.
Pada perhimpunan itu, mereka turut menghantar memorandum bantahan yang menyifatkan cadangan tersebut bukan satu langkah terbaik untuk ningkatkan kualiti dan memupuk keserasian kaum kerana institusi pengajian tinggi (IPT) lain masih tidak dapat mewujudkannya.
Penuntut terbabit yang memakai baju-T berwarna hitam mula berkumpul kira-kira pukul 9 pagi di Dataran Shah Alam sebelum berarak ke bangunan SUK.
Perhimpunan berakhir pada pukul 10 pagi setelah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Luqman Nulhakim Mohamad Idris menyerahkan memorandum itu kepada pegawai SUK, Hasril Abu Hassan.


Luqman ketika ditemui pemberita menegaskan, kerajaan negeri tidak perlu lagi membincangkan cadangan tersebut sekiranya ia bertujuan semata-mata untuk meraih undi pelbagai kaum.
"Jangan politikkan UiTM kerana universiti ini telah termaktub dalam Perkara 153 yang ditubuhkan untuk bumiputera demi membantu menaikkan taraf ekonomi mereka.
"Kami akan buat susulan fasa kedua dan ketiga dan kami akan minta sendiri daripada Yang Dipertuan Agong supaya baginda menitahkan UiTM tidak dibincangkan lagi di mana-mana," ujarnya.
Baru-baru ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengutarakan cadangan itu bertujuan mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar UiTM.
Sementara itu, seorang penuntut UiTM, Sheikh El-Ash Shaff Shaik Daud, 22, pula bimbang jika cadangan tersebut diteruskan seperti mana yang telah dilaksanakan di IPT lain.
"Mula-mula kemasukan 10 peratus, tetapi lama-kelamaan berapa peratus lagi dicadangkan pula dan akhirnya golongan bumiputera lenyap dan tertindas di universiti sendiri," ujarnya.
Daeng Zaed, 19, pula berpendapat, UiTM perlu mengekalkan dasar penubuhannya kepada kemasukan bumiputera kerana universiti ini adalah satu-satunya untuk golongan itu.
"Bukan kami takut saingan, namun penubuhan UiTM sendiri telah banyak membuktikan kemajuan dan pembangunan intelektual selain meningkatkan daya ekonomi bangsa kita," ujarnya


p/s:- pandangan anda? aku punya pandangan; no komen. masing2 ada hak nak bersuara. demokrasi katanya. hehehe

0 comments: